HyProBulkSMS...Penyelesaian Kepada Masalah Kewangan Anda!!!

Komisyen 100%

Tuesday, June 15, 2010

Catatan Kak Adeq

Alhamdulillah hari ini Kak Adeq dimaklumkan dengan berita gembira dari kedua-dua adik yang masing-masing belajar dalam aliran Diploma Kejuruteraan Awam dan Mekatronik di mana kedua-duanya mendapat keputusan yang boleh dibanggakan. Bagi adik yang menyambung Integrasi Diploma Kejuruteraan Awam keputusan CGPAnya 3.21 adalah di luar jangkaan. Manakala, adik bongsu yang meneruskan pengajian dalam bidang Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekatronik untuk pertama kalinya hit 3.03 semester ini. InsyaAllah...boleh diperbaiki dengan usaha, kesungguhan, doa dan tawakal. Syukur...

Terasa kepuasan menyelinap hingga ke ulu hati. Mungkin perkara ini biasa bagi orang lain, tapi bagi Kak Adeq inilah harga kepada sekelumit pengorbanan selama ini. Tambahan pula bila tanggungjawab ini diamanahkan oleh orang tua sejak meninggalkan alam universiti. Walaupun berdasarkan turutan pangkat keluarga Kak Adeq asalnya bukan calon pilihan untuk digalaskan segala tugas-tugas ini, namun percaturan hidup dan ketentuan Tuhan tidak dapat disangkal.

Berbeza sungguh dengan prinsip yang didukung ayah. Masih kukuh diingatan drama luka ayah bila menatap slip keputusan SRP 1990 anak lelaki sulungnya. Jelas sekali harapannya hancur berderai bila anak yang diharap-harap gagal melakar kejayaan. Beremosi ayah mengungkap kekecewaan 'Anak perempuan tidak akan mampu membantu keluarga, ayah dah putus harap!!!' Bicara ayah dengan nada yang amat kecewa.

Kak Adek yang duduk di tangga hanya mampu menyaksikan drama kecewa penuh duka itu. Berusia 9 tahun dan adik bongsu Ieyma baru lahir 26 Oktober 1990 dan Ani masih berhingus dengan umur baru 2 tahun. Kedua-duanya tak mungkin dapat memahami keadaan itu begitu juga dengan Kak Adeq yang ketika itu sekadar mampu bertanya 'Kenapa ayah menangis?' dan 'Kenapa anak perempuan tidak boleh membantu keluarga?'. Entah bagaimana persoalan itu seolah-olah melekat dalam minda dan benak pemikiran Kak Adeq. Walau jenuh ditepis masih menghantui kehidupan seharian Kak Adeq.

Penat akal dan hati saling berdebat mencari penyelesaian kepada persoalan yang seolah-olah dah berakar umbi dalam kepala Kak Adeq. Semakin hari semakin penat mencari jawapan dan akhirnya kesimpulan akal dan hati mendapat kata sepakat untuk membuktikan bahawa 'Tidak kira anak lelaki atau anak perempuan, asal faham tanggungjawab, asal mampu jadi orang yang berjaya..InsyaAllah..mampu berbakti membantu meringankan beban keluarga."

Kak Adeq tanam azam..hari demi hari Kak Adeq buktikan melalui pencapaian akademik di sekolah. Walaupun hakikatnya Kak Adeq bukan dari kalangan yang ber'IQ' tinggi tapi yang pasti keazaman Kak Adeq tinggi. Tiada siapa yang berada di kiri kanan memberikan galakan dan sokongan moral. Tuisyen jauh sekali, study-up di rumah adalah dilarang keras. Andai ada kerja sekolah harus pastikan kerja itu diselesaikan di sekolah juga. Bila sampai ke hari anugerah terasa bangga bila tersenarai antara pelajar cemerlang tapi kemudiannya kejayaan itu dipandang sepi oleh ayah. Walaupun sebenarnya setiap kejayaan yang diperolehi itu memang ditujukan khas buat ayah. Keras sungguh perinsip ayah...Tapi hati kecil selalu memujuk. Ayah mungkin berbangga tapi dia sengaja tidak mahu menunjukkan secara berdepan dengan Kak Adeq. Itulah ego seorang ayah.

Melangkah ke sekolah Menengah Rendah, ego diri semakin tinggi. Bukan mendabik dada tapi dalam fokus mengejar impian cuba mencipta kejayaan demi kejayaan untuk dibuktikan kepada ayah. Walaupun hakikat kejayaan itu hanya dibalas dengan sedikit senyuman di wajah ayah namun itu semua sudah memadai. Alhamdulillah berkat gigih cikgu yang mengajar keputusan UPSR di sekolah rendah dulu menjadi pemangkin dalam meningkatkan keyakinan diri untuk mengorak langkah.

Berkat keputusan UPSR juga melayakkan Kak Adeq untuk menerima bantuan kewangan Biasiswa Kecil Persekutuan. Nilainya RM 300 setahun. Besar nilai itu di mata Kak Adeq. Cukup untuk digunakan bagi membayar segala yuran dan baju sekolah untuk pengajian satu tahun. Tapi ajaran ayah, anak-anak tidak boleh pentingkan diri. Sedikit harus dikongsi sama sedikit. Ingatan Kak Adeq tidak jelas pada siapa yang Kak Adeq kongsikan wang biasiswa tersebut. Tapi jelasnya wang itu diserahkan pada ayah untuk ayah agih-agihkan bagi menjelaskan yuran sekolah masing-masing.

Terkenang kembali zaman Kak Adek tingkatan dua sangat popular dengan baju sekolah dari kain poliester. Cantik bila dipakai. Sebabnya susah warna putih itu menjadi kusam. Namun keinginan itu Kak Adeq pendam. Untuk apa pembaziran tambahan pula baju tingkatan satu masih elok dipakai. Mahu tidak mahu Kak Adeq pendamkan sahaja hasrat itu. Bila melihat adik-adik menyarung baju sebegitu semasa adik-adik di sekolah menengah terlancut juga lidah Kak Adeq mengatakan kemewahan adik-adik. Bukan kemewahan sebenarnya sebaliknya lebih kepada kelebihan adik-adik.

Keputusan PMR yang diumumkan memang menggemparkan. Bukan sahaja pihak sekolah malahan diri Kak Adeq sendiri. Alhamdulillah..Terbayang lagi di ingatan reaksi ayah setelah mendengar keputusan yang Kak Adek perolehi. Akhirnya, tidak sia-sia usaha Kak Adeq selama ini. Ayah akur pada satu keadaan yang 'mungkin anak perempuan ini boleh mencorakkan kehidupan keluarga ini kelak'.

MRSM bukan impian, tapi sebenarnya lebih kepada penyelesaian pergolakan dalam diri Kak Adeq. Inginkan kehidupan yang aman dan tenteram dan lebih berdikari memaksa Kak Adeq berkeras dengan keputusan. Walaupun pada awalnya ayah seolah-olah tidak mengizinkan. Tapi kredit Kak Adeq berikan kepada kawan-kawan sekerja ayah yang berjaya meyakinkan ayah prospek masa depan di MRSM jauh lebih baik.

Akhirnya ayah beri kata dua. Kalau Kak Adeq sudah berkeras ayah izinkan tapi jangan berhenti di separuh jalan. Nanti malu ayah nak menjawab pada orang kampung. Kak Adeq sahut cabaran itu. Bukan prospek masa depan matlamat utama tapi sejujurnya Kak Adeq mahu lari dari pergolakan keluarga yang seolah-olah tiada kesudahan. MRSM mengajar Kak Adeq bebas membuat keputusan dalam hidup. Namun jiwa Kak Adeq tidak bebas seperti di kampung. Pengajian menjadi terlalu mencabar dan terlalu sukar. Setiap peperiksaan dan ujian meletakkan Kak Adeq dalam senarai pelajar yang harus dibantu hinggakan ada di kalangan guru-guru yang berputus asa dengan Kak Adeq. Hilang segala rentak hilang segala semangat. Jiwa Kak Adeq terkurung antara pagar sekolah. Berdepan dengan kawan-kawan yang setiap 24 jam sentiasa bersaing membuatkan Kak Adeq seringkali tersungkur. Akhirnya igauan ngeri menjadi kemuncak bila mana keputusan Percubaan SPM diumumkan Kak Adeq hanya mampu memperolehi 3 Gagal untuk subjek elektif Bio, Fizik, Kimia dan 8 untuk Matematik Tambahan. Paling memilukan bila hanya mendapat 6 bagi Bahasa Melayu yang selama ini 1 atau 2. Apa yang berlaku? Memberanikan diri menelefon ayah yang sudah sedia maklum dengan keputusan itu setelah dihubungi oleh cikgu 'homeroom'. Jelas kedengaran kecewa di suara garau ayah. Terkesima Kak Adeq seketika.

Barulah Kak Adeq sedar yang sudah agak jauh Kak Adeq tersasar dari landasan dan matlamat Kak Adeq. Berkat kesedaran itu, keputusan SPM sebenar memberangsangkan. Pertama kali jatuh dan bangun sendiri. Ada hikmatnya yang tersembunyi. Sekurang-kurangnya ini panduan untuk hari esok.

Dengan keputusan itu Kak Adeq merencana dalam kepala tentang ke mana hala tuju Kak Adeq. Akhirnya setelah dinilai dari segi kos pengajian Matrikulasi Kementerian menjadi pilihan. Aliran? Sudah tentulah aliran Sains Hayat. Sebab dalam diam hati dan akal bersatu mencipta pilihan untuk mengekalkan cita-cita pilihan ketiga yang pernah tercatat dalam buku rekod sekolah rendah bahawasanya cita-cita bila besar nanti akan menjadi seorang; pertamanya cikgu, kedua jurutera dan ketiga doktor.

Kak Adeq harapkan langit cerah rupa-rupanya hujan turun di tengah hari. Surat tawaran yang menyatakan Kak Adeq berjaya melanjutkan pelajran ke Matrikulasi dalam Aliran Sains Hayat diajukan kepada ayah akhirnya menerima tamparan maha hebat. Kata-kata ayah umpama menghiris hingga ke tangkai hati. "Ayah tidak mampu! Tunggu sehingga ayah ada duit". Ya Allah besarnya ujian ini. Tapi riak wajah Kak Adeq tidak berubah menerima jawapan ayah. Yang meraung kesakitan hanya hati. Yang menangis teresak hanya hati. Kelam masa depan. Prinsip Kak Adeq peluang yang nyata di depan mata itu adalah realiti yang mungkin ditakdirkan datang sekali dalam kehidupan ini. Jangan menggantungkan harapan pada sesuatu yang tidak jelas.

Dalam kesakitan mengira hari pendaftaran yang makin hampir dan tidak mungkin Kak Adeq lalui sekali lagi Allah mendatangkan semula peluang itu bila mana boss tempat Kak Adeq bekerja menawarkan diri untuk membantu. Dan di sini bermulanya episod pentingkan diri yang Kak Adeq selalu tekankan kepada adik-adik. Malu?? Memang malu tapi apakah ada jalan yang lain?Teringat pada abang dan kakak yang berkerja namun semua itu tidak memberikan kesan kepada mereka. Tidak ada seorang pun yang sudi bertanya. Bila ayah bersetuju dengan cadangan boss, siap ada yang menentang kerana MALU. Hati dan akal sudah tidak ada perasaan lagi. Janji matlamat menyambungkan pengajian tercapai.

Dengan segala ranjau dan kepayahan itu Kak Adeq lulus cemerlang. Tiga semester memegang title Pelajar Terbaik Aliran Sains Hayat memberikan kelebihan untuk Kak Adek semakin hampir dengan cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Sayangnya, perancangan Allah itu lebih molek. Ayah menafikan sekerasnya niat Kak Adeq dengan alasan tempoh pengajian yang lama dan sekali lagi kos pengajian yang tinggi. Kali ini Kak Adeq terpaksa akur. Tapi paling merungsingkan isu kos pengajian peringkat ijazah juga berbangkit. Siapa yang hendak menanggung kos beribu-ribu itu. Timbul pula konflik di kalangan adik-adik ayah merangkap ibu dan bapa saudara kita yang konon-kononnya ayah bergadai tanah untuk kepentingan pengajian Kak Adeq. Aduh! sekali lagi Kak Adeq teruji. Ayah secara terang memang tidak akan bersetuju dengan tindakan itu. Dan Kak Adeq memang tidak tergamak langsung untuk mencadangkan idea gila seperti itu.

Cabaran lagi...Nasib baik terbaca maklumat dalam surat khabar yang mengatakan kepada mana-mana calon yang permohonannya berjaya untuk meneruskan pengajian di peringkat Universiti boleh memperolehi 'advance' dari BCB Bank dari PTPTN. Terus Kak Adeq mengajak ke cawangan terdekat di Taiping. Ayah yang tidak tahu menahu mengikut sahaja tanpa banyak bicara.

Permohonan Kak Adeq lari dari impian sebenar. Melompat kursus dari perubatan ke kejuruteraan memang idea gila yang Kak Adeq ambil. Minat?? Tidak sama sekali. Tapi sebab TERPAKSA BERJAYA. Hati sentiasa merintih. Semuanya jadi sukar. Semuanya tidak mengena. Keputusan Semester 1 amat mengejutkan. Namun pengalaman jatuh dahulu menjadi panduan. Berjerih bangun akhirnya dapat jua menyelesaikan Ijazah Sarjana Muda di IPTA. Semasa melangkah meninggalkan kampus pada hari terakhir diri telah pun menanam azam. Hilang peluang untuk menjadi doktor tapi itu bukan bermaksud tidak berpeluang memegang 'title' Dr....InsyaAllah....suatu hari nanti...

Jatuh bangun tidak pernah kedekut untuk Kak Adeq kongsikan dengan adik-adik. Tapi sayangnya, adik-adik tidak mengambil iktibar dari liku-liku kehidupan yang pernah melanda diri Kak Adeq. Ikutkan kata emak, ikutkan kata ayah, ikutkan kata adik-beradik lain memang banyak halangannya. Semuanya akan menekankan masalah DUIT. Bukan Kak Adeq mahu ingkar kata, namun kadang-kadang agak kesal bila mana mereka terlupa tentang kepentingan ilmu. Malahan dalam mahu menegakkan kepentingan ilmu itu entah untuk berapa juta kali Kak Adeq berdosa kerana menyebabkan emak mengalirkan air mata. Ampunkan Adeq! Hanya Tuhan yang tahu niat sebenar Kak Adeq.

Bila mana berjaya dalam mendapatkan jawatan yang baik memang Kak Adeq telah berazam untuk cuba memastikan bahawa adik-adik tidak melalui ranjau yang sama. Mungkin ada yang berkata pelaburan ini sia-sia. Kak Adeq relakan. Kepercayaan Kak Adeq kepada janji Tuhan yang mana bahawa setiap kebaikan itu akan dibalas dengan kebaikan dan begitulah sebaliknya. Sebab itu tiada syarat besar diletakkan atas pelaburan Kak Adeq kecuali bila adik-adik layak meneruskan pengajian Kak Adeq berkeras mahu adik-adik terus melangkah. Janji adik-adik akur pada syarat itu.

Tapi bila umur meningkat semuanya berubah. Masing-masing ada haluan diri masing-masing. Dengan berat hati terpaksa Kak Adek relakan. Harapan Kak Adeq jangan di suatu masa nanti terdetik di hati adik-adik penyesalan yang tiada kesudahan. Waktu itu, nasi sudah menjadi bubur. Wallahualam...

0 comments:

e-BOOK : Panduan Menjadi Ibu Bapa Cemerlang

e-BOOK : Panduan MUET

e-BOOK : Panduan Dekorasi

e-BOOK : Panduan Pengurusan Masa Cemerlang

e-BOOK : Panduan Membina Keluarga Bahagia

  © Blogger Template by Emporium Digital 2008

Back to TOP